♥♥ HARI INI DALAM SEJARAH (28 NOV) ♥♥


Perundingan Perjanjian Kerjasama Teknikal Antara Malaysia Dan Belgium

Tarikh Peristiwa : 28 Nov 1966

Pada hari ini dalam tahun 1966, satu perundingan mengenai Perjanjian Kerjasama Teknikal antara Malaysia dengan Belgium telah diadakan di Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Kualal Lumpur. Perundingan yang berlangsung selama lima hari telah membincangkan mengenai bantuan-bantuan teknikal dan kewangan yang bakal diberikan oleh kerajaan Belgium kepada Malaysia melalui projek-projek Rancangan Malaysia Pertama.
Dalam perundingan ini Malaysia telah diwakili oleh Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Encik Thong Yaw Hong manakala kerajaan Belgium diwakili oleh Dutanya ke Malaysia Encik Frans Taelemans. Antara perkara penting yang dibincangkan di hari pertama perundingan itu ialah mengenai bantuan enam orang pakar dari Belgium yang akan membantu program pembangunan di Malaysia pada tahun 1967. Di samping itu turut dibincangkan ialah bantuan Belgium dalam bidang pertanian, perhutanan, perubatan tropika, perikanan, biasiswa dan latihan kakitangan awam.Susulan dari itu, Perjanjian Kerjasama Teknikal antara Malaysia dengan Belgium  telah ditandatangani pada 2 Disember 1966 bertempat di Bilik Gerakan Negara. Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bagi pihak kerajaan Malaysia dan Menteri Luar Urusan Dagangan Belgium, Encik A de Winter menandatangani bagi pihak kerajaan Belgium. 

Bekas Gabenor Sarawak Meninggal Dunia -
   Tuanku Tun Datuk Haji Bujang B. Tuanku Haji Othaman

Tarikh Peristiwa : 28 Nov 1986

Sarawak telah menyertai Malaysia pada 16 September 1963. Setelah menempuh berbagai rintangan dan perundingan akhirnya pada tarikh tersebut Malaysia telah dilahirkan. Sistem pentadbiran negeri Sarawak di bawah Persekutuan Malaysia adalah sama seperti negeri-negeri lain di Semenanjung, di mana urusan pentadbiran peringkat negeri dijalankan serentak dengan urusan-urusan peringkat persekutuan. 
Sarawak mempunyai Yang Dipertua Negeri sebagai Ketua Pentadbir di peringkat negeri. Salah seorang Yang Dipertua Negeri Sarawak ialah Tun Datuk Patinggi Tuanku Hj. Bujang bin Tuanku Hj. Othman. Beliau adalah Yang Dipertua Kedua bagi Sarawak semenjak di dalam Malaysia. 
Jawatan ini disandang oleh beliau mulai dari 2 April 1969 hinggalah pada 28 November 1986 apabila beliau menghembuskan nafas terakhir di kediamannya Sri Embawang di Petra Jaya, Sarawak. Pada hari ini dalam tahun 1986, rakyat Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang berkaliber dan dihormati sebagai Yang Dipertua menggantikan Allahyarham Tun Abang Haji Openg. Allahyarham Tuanku Tun Datuk Hj. Bujang telah dilahirkan di Sibu, Sarawak. Beliau telah memulakan perkhidmatan kepada kerajaan dengan menyertai pasukan polis sebagai Sub-Inspektor Percubaan semasa pemerintahan Inggeris dalam tahun 1927, kemudian dinaikkan pangkat sebagai Inspektor Percubaan pada tahun 1934. Allahyarham bertukar kepada Perkhidmatan Awam Sarawak dan kekal di dalam perkhidmatan tersebut selama 26 tahun. 
Sepanjang perkhidmatannya Allahyarham Tuanku Tun Datuk Hj. Bujang pernah berkhidmat sebagai Leftenan Muda dalam Renjer Sarawak selama sebulan dalam tahun 1941. Beliau pernah dilantik sebagai majistret kelas keempat pada tahun 1934 dan kemudian sebagai pegawai pentadbir division satu pada 1965. Apabila Sarawak menyertai Malaysia, pada 1963 Allahyarham telah dilantik sebagai Senator Dewan Negara. Allahyarham telah menerima beberapa pingat dan penghargaan sepanjang hayatnya menjalankan tugas kepada negara. Antaranya Allahyarham dianugerahkan Member of The British Empire (MBE) pada 1967 dan Official of The British Empire (OBE) pada 1962, pada 1970 dianugerahkan pula Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) oleh Yang Dipertuan Agong. Pemergian Allahyarham Tuanku Tun Datuk Patinggi Haji Bujang pada hari ini begitu dirasai oleh semua. Allahyarham telah mencurahkan khidmat baktinya dalam memajukan negeri Sarawak di samping sumbangan -sumbangan lain kepada Malaysia keseluruhannya. 
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

1 comments:

Unni anje said...

Pncinta sejarah cik nur ni..

 

All Right Reserved To Dhia-Manja.