TAZKIRAH JUMAAT : Menjaga or Menutup Aib Orang



Salam Jumaat,

Setelah sekian lama menyepi, jadi tazkirah ini sebagai pembuka bicara.
Kita sering menulis tentang kesalahan yang kita sendiri lakukan sehingga membuatkan orang lain terasa dan timbul perasaan benci-membenci iaitu sikap suka menyebut keaiban dan kekurangan orang lain.

Perkara ini sudah menjadi kebiasaan,malah yang sering melakukannya bukan sembarangan orang tetapi beliau ini seorang ikon.Tidak kiralah ikon dalam bidang politik,dunia hiburan dan para ilmuan sekalipun,sepatutnya mereka mencerminkan akhlak yang baik.

Bukan la pandai sangat dalam menasihat, tetapi ingin berkongsi serba sedikit kepada semua umat islam agar kita tahu dan sama-sama mengambilnya sebagai peringatan.

Jangan selalu sebut keaiban atau keburukan orang lain.

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita gemar melihat keaiban orang sehingga terlupa keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata pepatah, ‘kuman seberang laut nampak, tetapi gajah depan mata tak nampak’.

Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dapat memperbaiki kekurangannya. Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberi isyarat diri kita tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang, satu jari ke orang itu, tetapi empat jari lagi menuding diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, tetapi diri kita lebih buruk daripadanya.

Sebab itu, biasakan melihat keburukan diri sendiri bukan keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain sendiri koyak-rabak. Dalam Islam digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihat kejahatan yang ada walaupun kita pernah berbuat kebaikan.

Hanya dengan cara ini kita terselamat daripada bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka. Islam menganjurkan umatnya bersangka baik dan berbuat baik sepanjang masa. Sabda Rasulullah, “Cukuplah bagi seseorang keburukan jika ia menghina saudaranya sesama muslim.”

Demikianlah antara pesanan Rasulullah supaya umat Islam sentiasa dalam ruang lingkup kehidupan yang diberkati Allah dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Marilah pada setiap masa mengingati pesan Nabi kita dan jadikan ia suluh pedoman dalam melayari kehidupan di dunia yang fana ini.

Sesungguhnya, peringatan Rasulullah sentiasa sesuai sepanjang masa untuk umat manusia. Hanya kita yang lalai kepada pesanan berharga itu. Kita hanya menyesal apabila kita ditimpa kesusahan atau sakit. Ketika itulah baru hendak mengenali Allah dan ingat Rasulullah. Sebagai mukmin, marilah kita berpegang teguh kepada pesanan Rasulullah s.a.w.

Pesanan Imam Al-GHAZALI

Suatu hari, Imam Al Ghazali pernah bertanyakan kepada murid-muridnya ” Apakah yang paling tajam di dunia ini?”

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang… Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Pesanan : Islam akan menjadi hebat apabila umatnya bersatu dan umatnya akan bersatu apabila mereka menjaga 'lidah' msing-masing.

Terima kasih kerana membaca dan jika Mas ada silap harap ditegur dan maaf jika terkasar bahasa..
Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.
Yang baik itu datangnya dari ALLAH S.W.T, dan Yang buruk semuanya dari dari kita hamba yg kerdil ini..

Selamat Hari Jumaat, Penghulu segala hari...
 

All Right Reserved To Dhia-Manja.